Sumber gambar: Google |
Hari ini cuti. Mila, kekasih Azmi yang baru ditawan hatinya ketika sama-sama belajar di kelas Bahasa Inggeris sewaktu semester 2 mengajak Azmi pergi ke Kuala Lumpur untuk mengisi masa lapang dan menghabiskan waktu bersama-sama.
"Nak buat apa pergi Kuala Lumpur?" Azmi bertanyakan Mila.
"Alah saja jalan-jalan. . . Esok kan cuti, bukan ada kelas pun" laju jawapan Mila kepada Azmi.
"Takde duitlah. . . Dah habis beli buku rujukan termodinamik minggu lepas" dalih Azmi sebagai alasan menolak.
Mila tidak mengalah. "Takpe saya belanja tiket KTM dan makan. Haa. . . Nak pergi tak? Jomla temankan saya" laju jawapan Mila. "Saya pun nak cari baju kat Jalan TAR jugak tapi tak nak pergi sorang-sorang. . ." tambah Mila lagi.
"Habislah aku" bisik Azmi di dalam hati. Dia tahu dia tak boleh menolak lagi ajakan Mila shopping ke Kuala Lumpur
Sepanjang perjalanan dengan KTM itu, Azmi duduk di koc lelaki dan Mila di koc wanita. Azmi termenung sambil merenung keluar tingkap tren tersebut. Dia melihat ada sekumpulan remaja lelaki sedang berlumba motosikal di jalan raya sambil mengangkat kaki ke atas lagak 'superman' terbang. Apabila tren melalui satu kawasan lain, dia melihat pula sekumpulan remaja lelaki lain berkopiah berjalan menuju ke masjid.
"Antara dua kumpulan remaja tu, yang pakai kopiah lagi bagus dari yang sedang merempit" desik hati Azmi.
"Mana kamu tahu berkopiah lagi baik dari yang merempit?" Tiba-tiba seorang lelaki yang duduk di sebelahnya menjawab isi hati Azmi. Azmi berpaling ke arah lelaki tersebut. Wajahnya seolah berumur 50 tahun dengan jambang putih beruban meliputi kedua belah pipinya.
"Pakcik boleh baca isi hati saya?" Tanya Azmi ke arah lelaki tersebut. "Macam mana pakcik tahu apa yang saya sedang fikir?" Azmi meneruskan persoalannya.
"Macam ni lah, anggaplah pakcik ada kelebihan yang orang lain tak ada" ringkas jawapan lelaki itu sebelum meneruskan ucapannya. "Tapi kamu belum jawab lagi, mana kamu tahu yang berkopiah itu lagi bagus dari yang merempit tadi?" Soal lelaki itu kepada Azmi.
Azmi merasakan bahawa dia sedang berdialog berkenaan falsafah dengan lelaki ini, sama seperti 'mimpinya' dengan al-Kindi tempoh hari. Dia berasa adalah menjadi satu tanggungjawab untuk dia menjawab persoalan lelaki tersebut dengan jawapan yang bernas dan tegas.
"Sudah tentulah pakcik, mereka berpakaian elok dan bukannya menunjukkan akhlak buruk. Mungkin mereka itu hafiz atau sedang pulang dari kelas agama" jawab Azmi dengan yakin.
"Habis yang merempit tu? Tak bagus? tanya lelaki tadi ringkas.
"Bukan tak bagus pakcik, tapi dari gaya diorang tadi dengan aksi 'superman' macam tu, tak mungkin mereka baru balik kelas mengaji pakcik" jawab Azmi.
"Baik, dengan apa kamu menilai mereka sebegitu?" Tanya lelaki itu lagi.
"Pakcik, kita kan dikurniakan mata. Dengan mata ni saya telah melihat sendiri bahawa tindakan kedua-dua kumpulan remaja lelaki tadi boleh menggambarkan apa identiti dan diri mereka. Saya rasa mata saya tak salah melihat mereka begitu. Manusia dikurniakan akal dan mata untuk menilai sesuatu perkara sama ada elok, tak elok, positif, negatif dan sebagainya" jawab Azmi mempertahankan hujahnya.
"Jadi maksud kamu, manusia adalah ukuran semua benda?" Tanya lelaki itu lagi.
"Apa maksud pakcik manusia adalah ukuran semua benda?" Giliran Azmi pula bertanyakan pakcik tersebut.
"Maksud 'manusia adalah ukuran semua benda' saya tadi adalah semua benda di dunia ini adalah berdasarkan penilaian manusia dan manusia layak untuk menilai sesuatu benda, kerana ianya bersifat relatif dan bukannya objektif". Terang lelaki itu tadi.
"Ooo. . . Jadi berdasarkan pernyataan ini, betul lah hujah saya, kita mampu menilai berdasarkan kemampuan kita yang mempunyai deria dan akal" Azmi gembira kerana ayat lelaki itu seolah menyokong pandangannya.
"Sebenarnya relatif adalah sesuatu benda yang subjektif, tetapi tidak semua benda adalah relatif". Lelaki itu menjelaskan. "Tak semestinya apa yang kita lihat itu betul pada realitinya" tambah lelaki tu lagi.
Sedang mereka berbual, tren berhenti di stesen Serdang mengambil penumpang. Azmi melihat dua orang penumpang lelaki berpakaian kemeja dan seluar slack dengan tali leher masuk dan berdiri tidak jauh dari tempat duduk Azmi dan lelaki tersebut. Tren kemudian meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.
"Kenapa pakcik kata kita tak boleh kata semua benda relatif?" Tanya Azmi lagi. Bukan ke keadaan kita ni subjekif, bergantung pada keadaan dan kehidupan semasa?" Azmi bertanya dengan niat lelaki itu mengalah.
"Baik, cuba tengok dua orang lelaki berkemeja dan bertali leher itu. Kanu agak-agak apa kerja diorang?" Lelaki tadi cuba bermain teka-teki dengan Azmi pula.
"Ikut pengamatan saya, dua-dua lelaki itu adalah pegawai eksekutif di syarikat besar di ibu kota" jawab Azmi ringkas.
"Kenapa kamu kata macam tu? Apa hujah kamu?" Lelaki itu cuba mendapatkan kepastian daripada jawapan Azmi.
Azmi menjelaskan jawapannya; "Hujah saya adalah kerana kedua-duanya berpakaian segak, dan menepati gaya eksekutif di syarikat korporat. Saya melihat dengan mata dan kemudian mentafsir dengan akal berkenaan situasi dua orang lelaki tadi".
Lelaki itu menyambung pula, "Kenapa diorang naik tren?" pendek dan ringkas soalan kali ini.
"Mereka nak jimatkan duit dan tenaga, naik tren lagi merehatkan berbanding memandu kenderaan sendiri ke Kuala Lumpur" jawab Azmi lagi.
"Baik. . . Kalau macam tu kamu bersetuju bahawa manusia adalah ukuran semua benda?" tanya lelaki itu lagi.
"Ya. . . Saya yakin dengan hujah saya" Azmi menjawab dengan tegas.
Dari corong kedengaran suara bahawa tren akan berhenti di stesen seterusnya, iaitu stesen Terminal Bas Selatan.
"Saya akan berhenti di sini. Sebelum berpisah, untuk pengetahuan kamu, kedua-dua lelaki itu adalah pekerja am di sebuah gedung beli belah di Kuala Lumpur, bukan eksekutif di mana-mana syarikat korporat" jawab lelaki itu.
"Kenapa pakcik berkata macam tu?" Azmi cuba mendapatkan penjelasan.
"Cuba kamu perhatikan betul- betul, warna dan jenis tali leher mereka adalah warna pekerja am di gedung beli belah tersebut. Lagi satu, di baju mereka ada tag nama bertulis 'managenent trainee'". Jawab lelaki tadi.
Dia kemudian menambah; "Manusia tidak boleh menjadi hujah dalam menilai semua perkara dan bukan semua benda adalah relatif. Ada sesetengah bersifat objektif, bemaksud perkara tersebut harus mengikut flow atau 'aliran semasa' dalam kehidupan".
Lelaki itu bangun dari tempat duduknya dan berjalan menuju ke pintu tren yang baru berhenti. Sebelum dia melangkah keluar, lelaki itu menghulurkan sekeping kad kepada lelaki tersebut sebelum melangkah keluar tren.
Tren kemudian meneruskan perjalanan menuju ke Kuala Lumpur. Azmi melihat ke arah kad yang diserahkan kepadanya oleh lelaki tadi. Di atas kad tersebut bertulis:
"Pengalaman adalah guru terbaik dalam kehidupan: Protagoras: sufis sofis relatif".
Azmi mendesah panjang apabila membaca kad tersebut. Dia duduk sambil memikirkan kembali perbincangannya dengan lelaki tadi sambil menunggu tren meluncur laju ke stesen Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment